Wednesday, 3 September 2014

PENDUDUKAN PORTUGIS



PENAKLUKAN PORTUGIS KE ATAS MELAKA (1511–1641)

Kejatuhan Melaka ke tangan orang Portugis pada 1511 telah menandakan berm ulanya penjajahan kuasa Barat di kepulauan Melayu. Penaklukan Melaka oleh Portugis berdasarkan kepentingan ekonomi kerana Portugis berhasrat menggunakan pelabuhan Melaka sebagai pengkalan untuk mengawal kuasa perdagangan mereka di Pulau Hindia Timur.
Di samping itu, kedatangan Portugis ke Timur adalah bertujuan untuk menghancurkan agama Islam dan mengembangkan agama Kristian serta memecahkan monopoli perdagangan yang selama ini dikuasai oleh orang Islam. Orang yang bertanggungjawab merencanakan strategi menawan Melaka ialah Alfonso d’ Albuquerque.

Bagi mencapai matlamatnya, Albuquerque telah menawan Goa di India pada 1510 untuk dijadikan markas kekuasaan dan gerakan Portugis di Timur. Pada 1509, Lopez de Sequeira telah dihantar untuk memulakan hubungan dagang dengan Melaka. Setibanya mereka di Melaka, rombongan de Sequiera telah ditahan.
Walau bagaimanapun, de Sequiera berjaya melarikan diri dan melaporkan peristiwa tersebut kepada Alfonso.Dengan alasan penahanan rombongan tersebut, Alfonso telah menghantar angkatan tenteranya untuk menyerang Melaka. Serangan ke atas Melaka telah dimulakan pada 1 Julai 1511 dan akhirnya Melaka telah berjaya ditakluki oleh Portugis pada bulan Ogos 1511.

PUNCA KEJATUHAN MELAKA KE TANGAN PORTUGIS

Antara punca utama yang telah dikenal pasti sehingga menyebabkan Melaka berjaya ditawan oleh Portugis adalah kerana berlakunya pengkhianatan dalam negeri diikuti dengan ketiadaan Bendahara yang berkaliber seperti Tun Perak, serta kekuatan angkatan tentera Portugis, khususnya pemilikan senjata moden dan strategi peperangan yang lebih teratur.

PENAKLUKAN BELANDA KE ATAS MELAKA (1641–1824)
Tekanan yang dihadapi oleh Belanda di Eropah di abad ke- 16 telah menguatkan lagi azam Belanda untuk menjadi bangsa yang merdeka, berkuasa, kuat dan berdaulat.Penindasan Sepanyol ke atas Belanda, penutupan pelabuhan Lisbon terhadap kapal Belanda dan penerbitan buku Itinerario oleh Van Linschoten yang membongkar rahsia jalan laut dan tempat yang kaya dengan hasil rempah telah mendorong orang Belanda mengembangkan pengaruh ke rantau Asia Tenggara.
Dalam usaha menyatukan kekuasaan Belanda di Timur, seluruh kapal perniagaan Belanda yang berdagang di Timur telah digabungkan dan dikenali sebagai Syarikat Hindia Timur Belanda. Di samping itu, pada 1606, Belanda telah mengikat perjanjian dengan Negeri Johor untuk membuat pakatan bagi melancarkan serangan bersama ke atas Portugis di Melaka.
Bagi mengukuhkan kedudukannya pihak Belanda telah berjaya menawan dan menubuhkan pusat pentadbiran di Betawi. Setelah kedudukannya menjadi bertambah kukuh, hasrat Belanda untuk menawan Melaka telah diteruskan. Dalam bulan Jun 1640 sehingga Januari 1641, Melaka telah dikepung oleh Belanda dengan bantuan Johor. Pengepungan yang berterusan ini telah menyebabkan kebuluran yang teruk di kalangan tentera Portugis dan akhirnya pada 16 Januari 1641, pihak Portugis telah menyerah kalah tanpa syarat dan Melaka jatuh ke tangan Belanda.

PENYERAHAN MELAKA KEPADA KUASA INGGERIS (SYARIKAT HINDIA TIMUR) PADA 1795

Menjelang berlakunya Revolusi Perancis, Britain dan Belanda telah membuat satu perjanjian persahabatan yang memberi hak kepada mana-mana negara tersebut untuk menduduki tanah jajahan sekiranya negara-negara tersebut terlibat dalam peperangan dan gagal mengawal tanah jajahan tersebut. Berikutan dengan perjanjian tersebut pihak Belanda telah membenarkan Inggeris mengambil alih tanah jajahan Belanda, setelah pihak Belanda telah dikalahkan oleh negara Perancis pada 1795. 
           Dengan perjanjian tersebut Syarikat Hindia Timur Inggeris telah mengambil-alih tanah jajahan Belanda di Timur dan pada Belanda telah menyerahkan Melaka kepada kuasa Inggeris. Namun begitu apabila Perang Napolean telah ditamatkan pada 1815, Melaka telah dikembalikan semula ke tangan Belanda dan kedudukan ini kekal sehinggalah termeterainya perjanjian Inggeris-Belanda pada 1824 yang telah menyerahkan Melaka kepada pemerintahan Inggeris.

A-FAMOSA

1 comment:

  1. Minta maaf klu selama ini kita dimomokkan dengan kekalahan sultan melaka kepada Alfonso de Alburquerque disebabkan oleh senjata yang lebih canggih. Fakta ini sudah terbatal dan tidak boleh dipakai. Penemuan terbaru dalam kajian sejarah masa kini telah membuktikan bahawa Teknologi senjata melaka pada masa itu adalah setanding dengan tentera eropah. Alburquerque dalam catatannya mengakui menemui lebih 3000 pucuk meriam dan Kebanyakannya dibuat sendiri di melaka setanding dengan buatan Jerman diabad ke 16. Punca kelemahan melaka ialah pengkhianatan dari dalam. Alburquerque dalam catatannya mengakui menemui nina chatu-memberi maklumat keadaan melaka. sekumpulan pedagang cina memberi bantuan kapal dan utimurti raja ketua orang-orang jawa yang memberikan bantuan semasa serangan keatas melaka. Apabila askar portugis mulai mendarat dan mara ke pertahanan pantai, sebilangan askar jawa mulai lari meninggalkan medan perang dan satu lagi kelemahan ketara ialah pemimpin yang tidak cekap. Sultan mahmud amat lemah dalam strategi perang dan memandang rendah kepintaran Alburquerque yang sudah berpengalaman berperang menghadapi bilangan musuh yang lebih besar di eropah dan india. Sultan ahmad pula terlalu muda dan terlalu mengharapkan pasukan gajahnya. Apabila tentera gajahnya ditewaskan,mereka hilang punca dan terpaksa mengalah. Semasa serangan dilancarkan, Alburquerque mengetahui angkatan laut melaka tiada dikawasan perairan selat. Jadi mereka harus menakluk melaka secepat mungkin sebelum angkatan laut yang diketuai laksamana balik.
    Sumber saya dari bacaan pelbagai buku dan info. Dari dalam dan luar negara.

    ReplyDelete